fbpx

Busana merdeka comel untuk si cilik patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gaun comel ini sesuai buat kanak-kanak yang mahu menyerlahkan gaya patriotik sempena bulan kemerdekaan negara.

BAGI meraikan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos depan, pereka fesyen pastinya tidak melepaskan peluang dalam menghasilkan busana ataupun pakaian yang mencerminkan semangat patriotik rakyat Malaysia.

Bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, seorang anak tempatan yang cukup sinonim dengan gaya pakaian yang fun dan comel mempertaruhkan koleksi pakaian kemerdekaan khusus buat kanak-kanak.

Pengasas Buttonmybuttons, Norshahida Mohamed Shariff, 38 berkata dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan rekaan pakaian kanak-kanak bersempena bulan kemerdekaan ini yang bukan sahaja comel tetapi juga selesa dengan penggunaan fabrik yang menyerap peluh seperti kapas.

“Buttonmybuttons yang diasaskan pada tahun 2006 cukup terkenal dan sinonim dengan rekaan riben ‘bow’ dan juga gabungan warna-warna yang ceria.

“Oleh itu, bagi koleksi pakaian kemerdekaan tahun ini, kami menampilkan elemen sama namun berunsurkan jalur gemilang.

“Malah, koleksi ini juga dihasilkan daripada lima jenis fabrik berbeza termasuk kapas yang pastinya memberikan lebih keselesaan kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Rekaan pakaian seperti gaun, baju kurung, baju Melayu dan set baju lengan panjang bersama seluar panjang cukup comel untuk digayakan oleh kanak-kanak.

Malah, rekaan yang tidak terlalu sarat juga menjadikan kanak-kanak mudah bergerak dan tidak berasa rimas apabila menggayakan koleksi Buttonmybuttons.

Tambah Norshahida yang amat mengagumi pereka dari Amerika Syarikat iaitu Betsey Johnson, rekaan baju kanak-kanak tersebut merupakan koleksi premium dan boleh ditempah khas oleh ibu bapa yang mungkin mencari busana khas sempena bulan kemerdekaan ini.

“Pelanggan yang berminat dengan mana-mana koleksi pakaian kanak-kanak ini boleh melihat koleksi yang ada di laman Instagram @buttonmybuttons.

“Mereka juga boleh memilih padanan warna dan saiz tertentu, namun bergantung kepada material atau fabrik yang ada,” ujarnya.

Antara rekaan yang paling mendapat sambutan adalah baju Melayu pendekar yang menampilkan perincian seperti dua poket kecil di bahagian hadapan daripada rona yang berbeza.

Ujar Norshahida, tarikan yang ada pada kesemua rekaan Buttonmybuttons terletak pada perincian riben dan renda yang kini menjadi gaya signaturnya.

“Sehingga kini, kami sudah pun menghasilkan lebih 150 rekaan dan koleksi signatur kami adalah baju kurung dengan perincian ‘scallop bow’.

“Rekaan tersebut bersifat evergreen dan boleh dipakai pada bila-bila masa.

“Malah, biarpun sudah lama memperkenalkan rekaan tersebut, ia masih lagi mendapat jumlah tempahan daripada peminat gaya itu,” katanya.

Koleksi Buttonmybuttons dijual pada harga bermula RM179. Bagi koleksi bespoke kanak-kanak pula, ia boleh ditempah khas pada harga bermula RM550.

Kesemua koleksi Butttonmybuttons boleh dibeli menerusi Instagram @buttonmybuttons atau @buttonmybuttons.baby atau menghubungi talian 014- 377 4243.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN