PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai serta pentas persembahan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perbuatan tersebut menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja.
“Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang sekeliling mereka.
“Sebagai seorang selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan masyarakat dan akan menjadi ikutan. Oleh itu sebagai selebriti, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, perkara tersebut juga selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya kawalan terhadap produk merokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti membantu usaha kementerian bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Kosmo! Online melaporkan, penyanyi Noh Salleh mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) di ibu negara, semalam.
Pada awal kemunculannya di pentas pentas peragaan, Noh dilihat memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan dalam sebuah video TikTok yang tular.
Vokalis Hujan itu juga dilihat membuat aksi cuba meminta pemetik rokok daripada hadirin yang berada di hadapannya sebelum meneruskan langkah sambil meletakkan rokok tersebut di mulutnya. – KOSMO! ONLINE