PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama lapan hari ke Turkiye.
Lawatan yang dilakukan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Turkiye bermula 15 Ogos lalu.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Antara menteri Kabinet yang turut menyambut ketibaan baginda berdua adalah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai, diketuai Mejar Mohd Noornazmin Abd Rahim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.
Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Luqman Abdullah. – KOSMO! ONLINE.