KLANG – Walaupun berulang kali aduan telah diberikan namun kebajikan kira-kira 1,000 penduduk di Taman Mutiara Bukit Raja di sini terus diabaikan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.
Ini meliputi kemudahan taman permainan yang rosak dan tidak diselenggara, timbunan sampah terutama pukal yang tidak diangkut serta saliran longkang tersumbat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mutiara Bukit Raja, Thenathayalan Manoharah mengakui kesal apabila tiada tindakan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menyelesaikan masalah mereka.
Katanya, aduan yang dipanjangkan kepada MPK, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi lain juga tidak mendapat sebarang maklumbalas.
“Cukai tanah mereka hantar bil tepat pada masanya, bila kita bayar lambat dikenakan tindakan.
“Itu buat saya rasa kesal dan kenapa perlu jadi begini. Kita bukan tidak bayar cukai namun hak kami diabaikan,” katanya ketika pada sidang akhbar berhubung pemasalahan itu, hari ini.
Thenathayalan menjelaskan keadaan longkang tidak selenggara serta pam air yang terbiar ditutupi pokok menyebabkan banji kerap berlaku terutama pada tahun ini.
“Apabila hujan lebat turun lebih sejam, air akan naik lebih satu meter dan memasuki rumah.
“Siapa yang boleh tahan begini sedangkan isu tersebut boleh diselesaikan sekiranya ada tindakan progresif,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi, yang meninjau kawasan tersebut menyatakan MPK harus bertindak adil kepada penduduk yang sepatutnya menerima perkhidmatan terbaik daripada pihak berkuasa tempatan tersebut.
“Saya sendiri telah berhubung dengan PBT pun tidak mendapat maklum balas ataupun tindakan memuaskan.
“Mereka telah tinggal di sini hampir 20 tahun. Masalah banjir bukan perkara baharu malah kerajaan negeri pernah meluluskan peruntukan untuk membuat kolam takungan, tetapi masalah longkang dan pam air masih belum selesai,” katanya. – KOSMO!ONLINE