MERSING – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad menafikan penama wanita yang dikaitkan dalam laporan berita tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS) bukan isterinya.
Dalam kenyataan dikeluarkan sebentar tadi beliau turut memaklumkan bahawa beliau sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan kes tersebut.
“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd. Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.
“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff.
Rafizi mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd Latiff.- KOSMO! ONLINE