LONDON – Seorang wanita dari Nottingham, England terkejut apabila melahirkan sepasang bayi kembar yang memiliki dua warna kulit berbeza, lapor akhbar Daily Star, baru-baru ini.
Chantelle Broughton, 29, melahirkan bayi lelaki, Ayon dan pasangan kembarnya yang merupakan seorang bayi perempuan bernama Azirah di Hospital Bandar Nottingham pada April lalu.
Ayon bermata hijau dan berkulit cerah manakala Azirah mempunyai mata berwarna coklat dan berkulit gelap, amat jauh berbeza dengan abangnya.
Pakar genetik menganggarkan bahawa jenis kelahiran luar biasa seumpama itu adalah satu dalam sejuta.
Chantelle dan suaminya, Ashton memiliki darah campuran kerana wanita berkulit cerah itu mempunyai datuk sebelah ibu yang berasal dari Nigeria. Ashton pula mempunyai darah kacukan Jamaica dan Scotland.
Chantelle berkata, anak kembarnya tidak kelihatan berbeza semasa dilahirkan, tetapi mula menunjukkan perubahan ketara sejak empat bulan lalu dengan kulit Azirah menjadi lebih gelap.
Selain penampilan mereka yang berbeza, Chantelle berkata, kembar berusia empat bulan itu kini mempunyai personaliti yang bertentangan antara satu sama lain.
“Saya sangat gembira mereka lahir unik seperti ini dan saya tidak akan menukar keadaan ini dengan apa-apa pun di dunia,” kata Chantelle. – Agensi