fbpx

Tidak boleh sewenang-wenang musnahkan kolam takungan musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi melihat mesin MRI baharu di KMC, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Tiga kolam yang menjadi sumber air untuk tanaman durian musang king di Gunung Inas, Baling dekat sini tidak boleh dimusnahkan sewenang-wenangnya kerana ia dimiliki oleh pihak tertentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, semua pihak termasuk pemimpin perlu membaca laporan berhubung punca kejadian aliran puing dan banjir di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu dengan teliti.

Katanya, laporan dikeluarkan jawatan kuasa khas ditubuhkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyatakan bahawa kolam tersebut bukan punca kepada tragedi berkenaan.

“Kolam itu ada pemiliknya jadi tak boleh senang-senang nak musnahkan orang punya.

“Selain itu, perlu juga baca laporan jawatan kuasa khas ditubuhkan KeTSA terdiri daripada ratusan pakar yang menyatakan kolam tersebut bukan punca kejadian banjir,” katanya .

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kedah Medical Centre (KMC) berkata demikian ketika hadir merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan swasta tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, jika tiga kolam itu pecah serentak sekalipun dengan tanpa hujan, air itu tidak akan sampai ke bawah gunung.

“Air dari kolam tersebut akan hilang di ‘jalan’ macam itu sahaja,” ujarnya.

Semalam, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak gunung itu akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat kerana dikatakan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

Menurut Abdul Azeez, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut menasihati Abdul Azeez agar tidak terperangkap dengan sentimen dimainkan golongan tidak berilmu atau individu yang tidak membaca laporan dikeluarkan KeTSA.

“Sebagai pemimpin, beliau perlu bersandarkan kepada pakar geologi,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI