KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pengurup wang haram didalangi warga Bangladesh dalam operasi khas yang dijalankan pada Khamis dan Jumaat lalu di sekitar ibu kota.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan di tiga premis menjual peralatan telefon, elektronik dan kios agensi pelancongan yang disyaki menjalankan aktiviti pengurup wang tanpa lesen.
“Dalam operasi tersebut, seramai enam lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja serta penjaga premis terbabit berjaya diberkas.
“Salah seorang yang ditahan merupakan dalang utama sindiket iaitu suspek lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dzaimee, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM44,035 disyaki hasil aktiviti pengurup wang dan 15 keping pasport Bangladesh dipercayai bagi menjalankan aktiviti ejen pekerja asing.
“Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
“Mereka telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE