MELAKA – Seorang remaja lelaki cuba membunuh diri menggunakan sebilah pisau di kediamannya di Bukit Rambai di sini selepas dipercayai dipaksa membuat seks oral oleh rakan sekolahnya, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa berasa curiga dengan perubahan sikap anaknya yang tiba-tiba menyendiri.
Katanya, hasil soal siasat, remaja terbabit yang merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah berasrama memaklumkan dia telah dipaksa oleh rakan-rakan untuk melakukan seks oral sebelum laporan polis dibuat.
“Ibu mangsa berusia 37 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh semalam mendakwa anaknya telah dipaksa membuat seks oral oleh rakan asramanya.
“Akibat kejadian itu, mangsa menjadi trauma sehingga cuba membunuh dirinya menggunakan pisau,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa juga dikatakan mengalami gangguan psikologi sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Mengulas lanjut Christopher berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat membuat rakaman percakapan daripada mangsa susulan remaja itu masih dirawat di hospital.
“Kini mangsa masih berada di hospital. Sebaik sahaja keadaan kesihatannya pulih, kita akan buat rakaman percakapan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini telah diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE