fbpx

Rama-rama terbesar dunia ‘sesat’ di Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serangga besar itu adalah diharamkan untuk disimpan di AS. - Jabatan Pertanian Negeri Washington

SEATTLE, Washington – Seekor rama-rama atlas yang memiliki sayap selebar kira-kira 25 sentimeter dijumpai buat kali pertama di Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.

Serangga yang sangat jarang ditemui itu dijumpai di negeri Washington.

Ia mula dikesan pada 7 Julai lalu oleh seorang profesor Universiti Washington yang melaporkan penemuannya kepada jabatan pertanian negeri.

Ahli entomologi kemudian mengenal pasti serangga itu sebagai rama-rama atlas sebelum menghantarnya ke jabatan pertanian persekutuan untuk pengesahan.

“Kami tidak pasti bagaimana ia boleh bertahan dengan cuaca di sini.

“Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) sedang mengumpulkan maklumat saintifik dan teknikal yang tersedia mengenai rama-rama ini tetapi dalam masa sama, kami berharap penduduk boleh membantu mengesan sama ada hanya seekor sahaja yang ‘tersesat’ atau terdapat populasi di kawasan itu,” kata ahli entomologi pengurusan jabatan, Sven Spichiger.

Dianggap sebagai salah satu rama-rama terbesar di dunia, rama-rama atlas adalah diharamkan untuk disimpan di AS, demikian menurut pegawai Jabatan Pertanian Negeri Washington.

Pegawai-pegawai tidak dapat memastikan bagaimana serangga besar itu berada di negara itu kerana ia tidak berasal dari kawasan tersebut.

Walaupun saiznya besar, rama-rama itu sama sekali tidak berbahaya kepada manusia dan boleh dikendalikan dengan selamat oleh individu yang melihatnya di habitat liar. 

Namun, tindakan menjadikannya haiwan peliharaan atau menjual rama-rama atlas hidup sama ada di peringkat dewasa, telur, larva atau pupa tanpa permit USDA adalah melanggar undang-undang.

Rama-rama atlas berasal dari Asia Tenggara dan biasanya mendiami kawasan beriklim tropika. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI