PETALING JAYA – Seorang lelaki maut apabila motosikal dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang bas dalam kejadian di Kilometer 34 Lebuh Raya Persekutuan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.44 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis EX5 dan bas Causeway Link.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dipercayai telah hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan belakang bas yang berhenti untuk mengambil penumpang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ni.
Menurut Fakhruddin, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Saksi di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Hafeez Faesal di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE