SEBERANG PERAI – Seorang pelajar tingkatan tiga maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang terbabas di Jalan Lebuh Bertam Perdana di sini petang tadi.
Kedua-dua mangsa berusia 13 dan 15 tahun itu merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah di Kepala Batas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, penunggang yang maut bersama rakannya yang berusia 13 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Bertam Pinggiran menghala ke Bertam Perdana kira-kira pukul 3 petang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa telah hilang kawalan menyebabkan terbabas ke kanan jalan dan melanggar pembahagi jalan.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala manakala rakannya hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE