PUTRAJAYA – Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di 10,755 buah sekolah seluruh negara dijangka lebih bersifat inovatif dan kreatif apabila bakal dibekalkan dengan peranti elektronik baharu menerusi pelaksanaan Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Lebih menarik, menerusi transformasi baharu itu, ia bukan sahaja memacu perubahan dalam sistem pendidikan negara, malah membolehkan guru serta pelajar menikmati proses PdP dengan kaedah pelbagai termasuk secara digital.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemerkasaan itu dilaksanakan selepas pihaknya melihat penggunaan teknologi digital dalam bidang pendidikan terus meningkat sejak dua tahun lalu ketika negara berdepan situasi Covid-19.
“Dalam tempoh sukar di mana sektor pendidikan terjejas Covid-19, KPM sentiasa bekerja keras memastikan bidang digital ditambah baik, malah sejak 2021, kita telah ubah pendekatan dalam pembekalan komputer di sekolah seluruh negara.
“Pendekatan baharu itu melibatkan kaedah pembekalan secara sewa guna (Lease to Use) yang mana kita tidak menggunakan ‘desktop’ sebaliknya memilih komputer riba untuk digunakan dalam PdP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) baru-baru ini.
Dr. Radzi menjelaskan, penggunaan komputer riba itu membolehkan kaedah PdP diperluaskan di mana guru dan pelajar bebas berada di pelbagai lokasi berbanding sebelum ini iaitu hanya di makmal komputer.
“Apabila menggunakan kaedah sewa guna, sebarang kerosakan pada peranti itu akan dibaiki oleh penyedia sekali gus mengatasi masalah komputer lambat dibaik pulih sekiranya rosak.
“Sebelum ini, cabaran utama berkaitan pembekalan peranti adalah apabila komputer rosak, ia mengambil masa lama untuk dibaiki selain melibatkan isu pelupusan selepas tidak dapat digunakan lagi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Radzi menerangkan, penggantian peranti baharu itu dilaksanakan melalui tiga fasa dengan kesemua seluruh negara dijangka menikmati keseluruhan manfaat menjelang akhir tahun.
“Bagi fasa pertama, kita telah selesai 90 peratus melibatkan sebanyak 3,900 buah sekolah dengan kos bernilai RM411.8 juta. Fasa dua meliputi 3,455 sekolah dengan belanja sebanyak RM460 juta dan dilaksanakan antara 2022 hingga 2023.
“Fasa tiga pula melibatkan sebanyak 3,400 buah sekolah dengan peruntukkan sebanyak RM430 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023,” ujarnya.
Jelasnya, KPM turut membekalkan peranti elektronik termasuk komputer riba di pejabat sekolah menggunakan kaedah sama dengan belanja sebanyak RM91 juta bagi tahun 2021.
“Secara keseluruhannya dalam konteks pembekalan komputer riba dan peranti elektronik lain ke setiap sekolah, KPM telah membelanjakan sebanyak RM1.3 bilion dan ia merupakan satu jumlah besar demi meningkatkan aspek pendigitalan,” katanya.
Menerusi program transformasi itu juga, KPM turut melaksanakan program Rintis Kelas Hibrid di mana sebanyak 550 buah kelas daripada 110 buah sekolah seluruh negara bakal dilengkapi internet berkelajuan tinggi.