PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 15 hari bermula Mac tahun depan bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.
Hakim Jamaludin Mat menetapkan perbicaraan pada Mac 2023 itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadang dan ditetapkan.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan ketiga-tiga kes dibicarakan bersama.
“Seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan,” kata Mohd. Asnawi.
Dalam prosiding hari ini Yasin atau nama Muhammad Yasin Sulaiman, 47, yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkaitan kes selain bersetuju dengan tarikh- tarikh perbicaraan yang dicadang dan ditetapkan.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula. – KOSMO! ONLINE.