ALOR SETAR – Seorang lelaki didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lalu.
Tertuduh, Mohammad Fadhil Lope, 39, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.
Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung didakwa cuba memperdaya seorang petugas di Pejabat Sultan Kedah di sini dengan cara menyamar agar dibenarkan berjumpa Sultan Kedah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa’ Zamri mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad. – KOSMO! ONLINE