KAMPAR – Seorang lelaki maut setelah lori yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 302, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 3 petang itu mengorbankan V. Palaniandy, 56, yang parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan membabitkan lori dipandu mangsa dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan yang menyebabkan lori dipandu mangsa rosak teruk di bahagian hadapan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE