SEBERANG PERAI – Empat lelaki tempatan ditahan bersama rampasan 171,000 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM342,180 dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri di sebuah stor di Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, dalam serbuan yang sama, sebuah lori kanvas dan tiga buah lori tangki bernilai RM190,000 turut disita dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM532,180.
Terdahulu katanya, serbuan kira-kira pukul 9.45 pagi itu dibuat selepas satu risikan selama empat hari dilakukan pegawai penguat kuasa yang bertugas.
Menurutnya, semasa serbuan pihaknya berjaya menemui sebuah lori kanvas dengan muatan 10 tan yang turut memuatkan lapan unit tong plastik kosong berkapasiti 1000 liter setiap satu yang diubah suai di dalam kenderaan itu di premis terbabit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat lima buah ‘skid tank’, dua buah lori ‘bonded’, dua buah lori kargo dan lima buah lori tangki dalam premis yang sama.
“Daripada jumlah itu, kesemua lima ‘skid tank’ dan tiga daripada lori tangki itu didapati menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan jumlah anggaran 171,000 liter iaitu melebihi had simpanan yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita sini sebentar tadi.
Beritahu Jegan, hasil soal siasat mendapati, pemilik premis itu bertindak menipu apabila mengisytiharkan yang mereka hanya memiliki sejumlah 35,000 liter diesel bersubsidi dalam simpanan.
Sehubungan itu katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambahnya, ini merupakan rampasan terbesar membabitkan diesel bersubsidi yang diseleweng di Pulau Pinang setakat ini. – KOSMO! ONLINE