fbpx

Kompaun RM12.4 juta, majikan langgar Akta 446

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa Jabatan Tenaga kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan pemeriksaan ke atas asrama pekerja di Taman Perindustrian Bukit Bakri, Muar hari ini.

MUAR – Jabatan Tenaga kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM12.4 juta ke atas majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) sejak Februari 2021 hingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, jumlah itu adalah susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya membabitkan 48,579 majikan dan 183,391 penginapan.

Daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus atau 19,250 majikan didapati gagal mematuhi Akta 446 dengan 148 kertas siasatan dikenakan tindakan pendakwaan yang membabitkan denda RM1.2 juta.

“Antara alasan diberikan majikan adalah sukar mendapat kebenaran pembinaan penginapan dan permohonan sudah dilakukan, namun belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Operasi Khas Penginapan dan Asrama Pekerja di Taman Perindustrian Bukit Bakri, di sini sini hari ini.

Mohd. Asri berkata, JTKSM sedia membantu majikan sekiranya mereka mempunyai masalah termasuk perkara berkenaan penginapan pekerja.

“Walaubagaimanapun, pihak majikan perlu tampil ke JTKSM dan juga pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Mengulas operasi hari ini, beliau berkata, sepanjang dua jam pemeriksaan bermula 10.30 pagi, sejumlah 528 pekerja diperiksa di dua premis.

“JTKSM difahamkan pekerja di kedua-dua premis berkenaan disediakan penginapan atau asrama jenis binaan batu dan zink dan kita sudah pun melihat asrama itu.

“Penginapan pekerja berkenaan tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKSM dan majikan masih belum membuat sebarang permohonan,” katanya.

Beliau berkata, JTKSM masih melakukan siasatan terperinci terhadap majikan serta kawasan penginapan berkenaan dan jika gagal mematuhi Akta 446, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000 untuk setiap kesalahan.

Operasi tersebut turut disertai Majlis Perbandaran Muar (MPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI