fbpx

Kehidupan rakyat Myanmar sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di tepi sebatang jalan di Yangon, 17 Ogos lalu. – AFP

YANGON – Berpuluh-puluh penduduk berbaris panjang di bawah hujan bagi mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi di bandar hab komersial Myanmar, Yangon, di tengah-tengah krisis ekonomi yang menjadikan harga komoditi melambung tinggi.

Ekonomi negara itu yang merosot sejak rampasan kuasa tahun lalu kini semakin lemah apabila pemerintahan junta cuba mengetatkan kawalan tukaran asing serta peraturan tidak menentu yang mengawal sektor perniagaan dan import.

Kualiti kehidupan rakyat pula bertambah buruk akibat peningkatan harga komoditi akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine, menjadikan penduduk bergelut untuk meneruskan kehidupan dan bergantung kepada subsidi atau bantuan kebajikan bagi mendapatkan makanan.

“Orang ramai tidak dapat membelanjakan wang gaji mereka untuk makanan disebabkan harga komoditi semakin tinggi,” kata seorang penduduk, Khin Khin Than.

Harga pasaran bagi minyak masak 1.6 kilogram melonjak kepada AS$4.25 (RM19), kata Khin Than.

“Sekiranya hanya seorang yang bekerja dalam satu keluarga, mereka tidak mempunyai wang lebihan yang banyak untuk membeli makanan,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Bank Dunia menyatakan bahawa kira-kira 40 peratus populasi Myanmar kini hidup di bawah garisan kemiskinan kebangsaan.

Inflasi Indeks Harga Pengguna pula mencecah 17.3 peratus dalam tempoh setahun pada Mac lalu, kata Bank Dunia.

Tidak cukup dengan itu, harga beras turut melonjak yang disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan selain pertempuran tanpa henti antara tentera dan kumpulan antijunta telah menjadikan Myanmar seperti medan perang.

Bahkan akhbar yang disokong oleh pemerintahan tentera, Global New Light of Myanmar turut melaporkan mengenai isu-isu seperti peningkatan harga beras, telur, sayur-sayuran, pengangkutan awam dan sewa rumah setiap hari.

Minggu lalu, harga bagi satu liter minyak diesel meningkat sekitar AS$0.06 sen (RM0.26 sen) sepanjang malam, menjadikannya berharga AS$1.15 (RM5.14).

Sehari sebelum rampasan kuasa pada tahun lalu, pelanggan di Yangon hanya perlu membayar AS$0.33 (RM1.47), demikian menurut angka industri.

Minggu lalu, junta mengumumkan bahawa ia telah membentuk satu jawatankuasa untuk membeli  bahan api dari Russia, namun tiada sebarang maklumat diberikan mengenai bagaimana atau bila langkah itu akan dilaksanakan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berkata, orang ramai bergantung kepada bantuan kebajikan untuk membeli barangan keperluan harian.

“Sekiranya kami memasak di rumah, tiada bekalan elektrik selain beras juga amat mahal untuk dibeli. Kos memasak amat tinggi untuk seorang pesara,” kata Lay Lay, 68, yang mendapatkan bantuan makanan daripada gereja.

Menurut seorang penyelia program bantuan makanan tersebut, Ashin Ottamasiri, pihaknya memberikan kupon kepada 500 penduduk setiap hari untuk makanan yang dimasak menggunakan bahan-bahan yang juga hasil sumbangan.

“Ada hari-hari kami menerima permintaan daripada lebih 600 orang. Jika kami kehabisan nasi dan kari, kami memberikan kek, snek dan buah-buahan kepada mereka,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI