KLUANG – Seorang wanita yang juga isteri anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 86.5, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 4.40 petang itu menyebabkan mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi, Noorazimah Ismail, 40, meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa mengalami k
ecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
“Seorang lagi mangsa yang memandu Proton Wira, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an parah di kepala dan muka kini dirawat di hospital sama.
“Hasil siasatan mendapati pemandu wanita dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke bandar Kluang bertembung dengan kenderaan dipandu lelaki berkenaan yang datang dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta dipandu lelaki tersebut masuk ke laluan pemandu wanita sebelum bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.