fbpx

Ilmu mematangkan Kamilia Hidayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI Kamilia Hidayah, ilmu yang diperoleh menjadi benteng paling ampuh untuk menangani sebarang cabaran pada masa depan.

USIA muda sepatutnya diisi dengan pelbagai ilmu di dada tidak kira akademik mahupun keagamaan.

Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kamilia Hidayah Zulkipli, 25, itulah pegangan yang disemat ibu bapanya kepadanya selama ini.

Justeru, berita yang menyebut puluhan ribu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa ini tidak mahu menyambung pengajian amat mengejutkannya.

Kata gadis manis yang menuntut dalam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa itu, difahamkan ia disebabkan ramai yang menyertai ekonomi gig.

Baginya, situasi tersebut sangat merugikan mereka yang terlibat kerana apa jua bidang yang disertai memerlukan ilmu.

“Tanpa ilmu, kita kosong dan mudah dipermainkan pihak lain. Ilmu adalah benteng kuat untuk menangani sebarang isu dan kemungkinan mendatang.

“Meskipun mereka membabitkan diri dengan ekonomi gig, seseorang itu sebenarnya masih perlu belajar agar tidak mudah tertipu dengan keuntungan bersifat sementara disebabkan trend semasa,” katanya ketika ditemu bual di kampus UiTM, Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

Katanya, ilmu memungkinkan seseorang bertindak dengan penuh hikmah dan rasional.

Tanpa ilmu ujarnya, hidup ini umpama tin yang kosong yang mudah ditendang ke sana sini tanpa sebarang tujuan.

“Saya tidak nafikan ramai hidup mewah kerana kejayaan sebagai influencer dan selebriti media sosial, namun begitu, kita tetap perlukan ilmu untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

“Apabila seseorang itu menyambung pengajian, mereka lebih bersedia serta bijak dalam menangani sebarang kemungkinan,” ujarnya.

PENGALAMAN lalu membentuk jati diri Kamilia Hidayah sebagai insan cekal.

Berkongsi pengalaman hidupnya sebagai pelajar, Kamilia Hidayah berkata, bagi menghabiskan pengajiannya, dia turut bekerja sambilan di Unit Endowment, UiTM di bawah program Graduate Employability (GE).

Dia turut berkongsi pengalaman berharga yang ditimbanya ketika menunggu keputusan peperiksaan dengan menyertai program Pertukaran Pelajar Jepun di UiTM baru-baru ini.

Katanya, dia berkhidmat sebagai pembantu pensyarah yang bertanggungjawab menjadi fasilitator dan rakan kepada pelajar-pelajar Jepun yang terbabit dalam program berkenaan yang berlangsung selama tiga bulan.

Pengalaman tersebut ternyata membentuk jati dirinya sebagai insan yang lebih cekal dan cekap dalam memikul amanah yang diberikan.

Ujar Kamilia Hidayah yang bercita-cita menjadi seorang yang berjaya dalam bidang komunikasi korporat atau industri media berkata, dia ingin menjadi seorang yang berkeyakinan atau optimis dalam melakukan segala perkara.

Katanya, ini semua hasil didikan yang diperoleh daripada ibu bapa saya yang merupakan pensyarah di UiTM.

“Walaupun saya adalah anak bongsu dari tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan, namun tetap dididik dengan tegas dan penuh disiplin tanpa sebarang pengecualian.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, Kamilia yang tidak menggemari makanan manis ini berkata, anak-anak muda yang berusia 18 tahun pada masa kini telah bersedia dan cepat matang untuk bekerja, selain mengundi bagi menentukan masa depan negara ke arah lebih baik pada masa depan.

Katanya, generasi muda kini terdedah dengan maklumat tentang sosio-politik, yang mana mereka terdedah dengan pelbagai maklumat yang mudah dan cepat diakses dengan bantuan media sosial dan pelbagai platform sosial lain.

“Sungguhpun begitu, mereka perlu bijak menapis dan menyebar balik setiap apa yang diperoleh bagi menentukan kebenaran atau kesahihannya.

“Perkongsian maklumat dalam media sosial memanglah ada kebaikannya, namun perlu berhati-hati dengan maklumat tidak sahih kerana ia boleh memberi impak negatif.

“Oleh itu, jangan kongsi jika tidak pasti atau sangsi dengan sesuatu perkara yang diperoleh dari pelbagai sumber,” katanya lagi.

Kamilia Hidayah yang bakal menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana pada bulan ini memberitahu, dia mengemari muzik bergenre R&B, balada dan pop kerana iramanya yang mengasyikkan dapat memberikannya ketenangan selepas penat menyelesaikan kerja kursus.

Bagi filem pula katanya, dia memilih komedi romantik.

“Genre sebegini memberikan kepuasan tersendiri kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamilia mendedahkan, UiTM bukanlah tempat asing buatnya.

Ia kerana, dia dibesarkan dalam dunia pendidikan di universiti itu memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan pensyarah di situ.

“Ketika bapa menjadi Residen Staf, kami tinggal di salah sebuah kolej kediaman di UiTM Shah Alam sehingga saya berusia empat tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI