GEORGE TOWN – Rasa tidak sedap hati seorang wanita seolah-olah satu perkara buruk akan berlaku sejak seminggu lalu rupa-rupanya petanda dia akan kehilangan anak lelaki tunggal, S. Thanaseelan, 20, semalam.
Thanaseelan ditemui pasukan bomba dan sekumpulan nelayan pantai kira-kira pukul 9.25 pagi semalam kira-kira 100 meter dari lokasi dia dikhuatiri lemas di pantai Tanjung Asam, Gertak Sanggul.
Terdahulu, kira-kira pukul 2 petang kelmarin, mangsa dilaporkan hilang dibawa arus semasa sedang mandi bersama rakannya di pantai terbabit
S. Viaineswary, 42, berkata, kematian anak kedua daripada tiga beradik itu dianggap satu kehilangan besar buat keluarga memandangkan Thanaseelan merupakan satu-satunya anak lelaki mereka.
“Kali terakhir saya menemuinya pada pukul 8.30 pagi semalam (kelmarin) sebelum dia (mangsa) meminta mahu keluar bersama rakan-rakanya. Ketika itu, dia langsung tak beritahu akan ke pantai.
“Saya terima berita kehilangan pada pukul 5 petang semalam (kelmarin) daripada anak saudara dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya tidak henti berdoa agar dipertemukan dengan dia (anak) semula sehinggalah pagi tadi (semalam). Sedih apabila dapat tahu nelayan dan bomba sudah menjumpai dalam keadaan sudah kaku di laut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.
Cerita Viaineswary, anaknya itu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ketara, namun dia banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga sepanjang minggu lalu.
“Saya jadi tak sedap hati dan mahu anak duduk dengan saya sahaja. Dia ada minta supaya saya masakan ayam sambal dengan sayur Jumaat lalu.
“Memang anak takut dengan air laut dan tak pandai berenang. Jika kami sekeluarga pergi berkelah pun, memang dia tidak akan mandi,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung dengan mengenakan seluar jeans tanpa baju.