JOHOR BAHRU – Gadis autisme yang menjadi mangsa culik bertindak bijak dengan mengambil kesempatan menghantar lokasi keberadaan dirinya ketika penculiknya, iaitu seorang lelaki warga Rohingya sedang tidur.
Menurut ibu saudara gadis berkenaan, Adawiah Othman, 27, gadis berusia 16 tahun yang mesra panggilan kakak memberitahu, dia dipelawa oleh suspek yang menyamar sebagai rakan sebaya.
Jelas Adawiah, suspek yang didakwa seorang guru Al-Quran itu turut mengugut dan mengikat mangsa sebelum dibawa ke Kelantan menaiki bas ekspres.
“Kakak memberitahu, dia diikat oleh mangsa dan diugut untuk mendiam diri, ketika ditanya mengapa tidak cuba untuk melarikan diri atau meminta pertolongannya semasa dibawa ke Kelantan, kakak hanya memberitahu dia berasa takut.
“Ketika berada di satu premis di Tanah Merah, Kelantan, kakak terdengar suspek berbual dalam bahasa Rohingya, dia beritahu tidak faham, namun terdengar perkataan ‘Kedah’, menjadikan dia berasa lebih bimbang akan dibawa lari ke tempat lebih jauh.
“Disebabkan itu, kakak mengambil kesempatan ketika suspek sedang tidur dan memberi satu mesej kepada nombor rakannya beritahu lokasi dia berada dan meminta untuk memaklumkan ahli keluarga untuk diselamatkan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini semalam.
Berita berkaitan: Gadis autism dibawa lari lelaki Rohingya ke Kelantan
Tambah Adawiah, keluarga difahamkan penemuan mangsa oleh polis kira-kira pukul 12 tengah hari Khamis lalu setelah pihak berkuasa menyerbu lokasi yang dihantar sendiri oleh mangsa.
“Suspek menyamar sebagai rakan sebaya kakak melalui satu kumpulan WhatsApp, saya yakin suspek telah mengambil kesempatan terhadap mangsa memandangkan kekurangan yang dimilikinya.
“Tetapi mujurlah kakak telah ditemui dengan selamat dan sudah dibawa kembali ke kediaman keluarga di Bandar Putra, Kulai, semalam.
“Cuma keadaannya ketika ini dia agak membimbangkan, dia tidak banyak bercakap dan tidak mempunyai selera makan sehingga kami terpaksa memujuknya untuk makan demi kesihatan dirinya,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, bapa tiri mangsa, Mohd. Azmi Abdullah, 40, pula memberitahu, anak kedua daripada ketiganya itu masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya.
“Dia masih trauma, banyak berdiam diri dan termenung selepas dibawa pulang dari Kelantan. Ada sesekali kakak cakap macam tidak mahu hidup. Kita sebagai ahli keluarga banyak beri semangat kepada dirinya. – KOSMO! ONLINE