LONDON – Aleksandar Mitrovic sekali lagi mencuri perhatian selepas muncul wira untuk memastikan kemenangan sulung Fulham di Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Brentford 3-2 kelmarin.
Penyerang Serbia itu menyifatkan kesabaran Fulham jelas berbaloi selepas sering berdepan kekecewaan kerana kecemerlangan penjaga gol Brentford, David Raya.
“Perasaan yang cukup luar biasa. Saya fikir ia menjadi aksi derbi yang hebat, banyak gol berjaya dihasilkan dan penghujungnya, kami meraih kemenangan pertama musim ini.
“Kami sebenarnya memberikan kesukaran kepada diri sendiri, namun akhirnya saya mampu mendapatkan jaringan. Saya terlepas beberapa peluang, tetapi tidak pernah putus asa, terus bersabar dan kekal yakin,” kata Mitrovic.
Perlawanan itu turut menyaksi gol terpantas musim ini yang dilakukan oleh Bobby De Cordova-Reid untuk meletakkan Fulham di depan sebelum Joao Palhinha menambah gol kedua buat tuan rumah.
Bagaimanapun, Christian Norgaard dan Ivan Toney kembali meletakkan Brentford dalam persaingan, namun ketika aksi hampir berakhir dengan keputusan seri, Mitrovic berjaya menyambut hantaran lintang Kevin Mbabu sekali gus memastikan tiga mata sulung musim ini sekali gus terus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini. – AGENSI