MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mendedahkan bahawa beliau kemungkinan akan menyenaraikan Anthony Martial buat kali pertama musim ini ketika dijadual turun melayan kunjungan Liverpool di Old Trafford awal pagi esok.
Martial yang berjaya memberikan aksi terbaik ketika sesi pramusim lalu terpaksa diketepikan dalam dua aksi sebelum ini apabila berdepan masalah kecederaan hamstring, namun sudah kembali menjalani latihan sejak minggu lalu.
“Beberapa pemain lain seperti Victor (Lindelof) masih belum dapat menjalani latihan, tetapi berita baik adalah Anthony Martial sudah menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan,” katanya.
Ten Hag mengakui bahawa aksi menentang Liverpool sangat penting buat United dan mereka perlu menunjukkan semangat melawan yang terbaik bagi mengelak daripada berdepan kekalahan ketiga berturut-turut.
“Sudah tentu saya tidak gembira dengan dua keputusan perlawanan lalu. Dalam bola sepak, anda boleh bercakap mengenai perancangan atau falsafah, tetapi perkara asas adalah benda pertama yang perlu diberi perhatian selain turun bermain dengan sikap yang betul.
“Anda perlu semangat melawan ketika di padang dan saya tidak nampak elemen berkenaan dalam dua perlawanan sebelum ini dan untuk aksi menentang Liverpool, ia adalah sangat penting,” jelasnya.
Ten Hag dijangka melakukan beberapa perubahan termasuk mungkin menggugurkan Harry Maguire untuk menggandingkan Raphael Varane bersama Lisandro Martinez selain Luke Shaw juga bakal kehilangan posisinya kepada Tyrell Malacia.
Dalam pada itu, bekas kapten United, Wayne Rooney percaya bahawa Ten Hag perlu membuat keputusan untuk tidak menurunkan Cristiano Ronaldo pada perlawanan itu untuk membentuk skuad yang benar-benar pantas.
“Jika saya di tempat Ten Hag, perkara utama dalam fikiran adalah memastikan kesebelasan utama penuh dengan tenaga dan pantas. Saya tidak akan turunkan Ronaldo ataupun Marcus Rashford untuk aksi ini,” ujarnya.
– AGENSI