PUTRAJAYA – Angka jangkitan Covid-19 di negara ini mencatatkan sebanyak 2,464 kes semalam termasuk 16 kes import sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,719, 711 setakat ini.
Berdasarkan data pada laman web CovidNow, sejumlah 4,427 kes sembuh direkodkan dengan jumlah keseluruhan pulih daripada Covid-19 seramai 4,682, 689 orang.
Kata laman web itu, sebanyak 38,918 kes aktif Covid-19 dilaporkan dengan merekodkan pertambahan sejumlah negatif 1,972.
“Selangor mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 748 diikuti Kuala Lumpur (505), Sabah (225), Perak (195), Negeri Sembilan (167), Johor (101), Pulau Pinang (91) dan Melaka (85).
“Turut menyumbang kepada jumlah kes harian itu ialah Kedah (70), Sarawak (62), Pahang (60), Putrajaya (50), Kelantan (45), Terengganu (43), Perlis (9) dan Labuan (2),” kata maklumat itu tadi.
Dalam perkembangan sama, sebanyak sembilan kematian dilaporkan dengan tiada kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in dead (BID) seterusnya menjadikan jumlah kematian sebanyak 36,145.
Jumlah kematian BID pula sebanyak 7,677 setakat ini.
Sebanyak 37,408 kes dikuarantin di rumah, 32 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 1,409 kes di hospital, 36 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 33 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. – KOSMO! ONLINE