WALAUPUN merangkul pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebelum ini, beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah enggan mendabik dada pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun yang akan bermula hari ini.
Sebaliknya, gandingan yang berada pada ranking ke-11 dunia itu mahu melakukan persiapan terbaik, terutamanya dari segi mental memandangkan kejohanan tersebut berbeza jika dibandingkan dengan Sukan Komanwel.
Thinaah berkata, mereka hanya mahu memberikan tumpuan terhadap permainan sendiri dan fokus satu demi satu perlawanan memandangkan tidak meletakkan sasaran spesifik pada kejohanan tersebut.
“Kami tidak mahu letak sasaran khusus kerana apa yang penting adalah fokus satu demi satu mata dalam setiap perlawanan dan keputusan akan datang kemudian.
“Memang kami bersiap sedia untuk hadapi cabaran di Tokyo,” katanya.
Berdasarkan undian yang dilakukan, Pearly-Thinaah mendapat bye di pusingan pertama dan mereka dijangka berdepan pilihan kelima dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada pusingan ketiga.
Sementara itu, Pearly menganggap cabaran di Kejohanan Dunia sangat sukar kerana perlu berdepan beregu terbaik dunia biarpun pingat emas Sukan Komanwel yang dimenangi mampu menjadi pembakar semangat buat mereka.
“Memang dua pingat emas yang diraih pada Sukan Komanwel bagi kami semangat, tetapi masih ada ruang untuk tingkatkan permainan. Kami harap boleh tampilkan aksi konsisten kerana di Sukan Komanwel sebelum ini ada juga bermain dalam keadaan gementar.
“Laluan di Kejohanan Dunia pastinya tidak mudah kerana kami perlu berdepan pemain-pemain yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia. Mereka sangat konsisten, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” ujarnya.