PONTIAN – Sepasang suami isteri resah mengenangkan nasib anak bongsu berusia tiga bulan yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sejak dilahirkan pada Mei lalu.
Farhana Hazwanee Ibrahim, 32, berkata, anaknya, Muhamad Aliff Ammer hanya pulang ke rumah sehari selepas lahir pada 19 Mei dan dimasukkan semula ke HSA pada keesokan harinya.
“Doktor beritahu anak saya menghidap penyakit jantung berlubang, namun belum sesuai untuk menjalani pembedahan dan memerlukan pemerhatian daripada pegawai perubatan.
“Sudah tentu saya dan suami (Md. Johhar Yunos) bimbang dengan keadaannya. Setakat ini tiada keputusan yang tepat mengenai penyakitnya. Kalau boleh saya ingin tahu penyakit sebenar agar rawatan boleh diberikan kerana keadaan sudah berlanjutan selama tiga bulan,” katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini baru-baru ini.
Wanita itu mempunyai tujuh anak berusia tiga bulan hingga 14 tahun termasuk Muhamad Aliff.
Md. Johhar bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM2,000 sebulan, namun sejak Muhamad Aliff dirawat di hospital pendapatannya terjejas.
Sementara itu, Md. Johhar memberitahu, dia tidak berani mengambil banyak tempahan kerana bimbang tidak mampu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana dia dan isteri perlu ke HSA dua hari sekali untuk melihat anak bongsu mereka.
“Kadang-kadang kami terpaksa ke HSA sekiranya menerima panggilan daripada doktor menyebabkan kerja-kerja di bengkel tertangguh.
“Sepanjang tiga bulan ini, pendapatan saya tidak menentu kerana terpaksa memberikan perhatian kepada anak bongsu kami,” ujarnya yang telah 20 tahun menjadi mekanik.
Md. Johhar tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain setelah kembali ke kampungnya sejak tujuh tahun lalu yang mana sebelum ini lelaki terebut membuka bengkel kenderaan bersama dengan rakannya di bandar Pontian.
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga itu boleh menghubungi Md. Johhar di talian 012-7677994 atau membuat sumbangan menerusi akaun Public Bank bernombor 6804153004 atas nama Md. Johhar.