LONDON – Pengurus Tottenham Hotspurs, Antonio Conte mengakui beliau sangat gelisah ketika menyaksikan skuad kendaliannya menang tipis 1-0 menewaskan Wolverhampton Wanderers pada aksi kelmarin.
Wolves dilihat berjaya mendominasi sebahagian besar perlawanan apabila anak-anak buah Bruno Lage berjaya melakukan 12 percubaan ke arah gawang Spurs dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan.
Kehadiran dua pemain baharu, Matheus Nunes yang memecahkan rekod perpindahan kelab serta Goncalo Guedes nyata memberikan kelebihan ke atas jentera serangan Wolves apabila cukup berbahaya sehingga menyaksikan benteng Spurs terpaksa bekerja keras.
Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan Spurs kembali menyusun gerakan dan mengimbangi perlawanan sebelum Harry Kane muncul wira dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-64.
“Banyak perkara yang saya perlu pertimbangkan pada perlawanan ini, jadi secara keseluruhan saya menganggap kami telah memberikan aksi terbaik.
“Perkara pertama adalah Wolves berjaya menandatangani tiga pemain baharu yang memberikan impak buat mereka minggu lalu.
“Jika anda melihat kesebelasan utama mereka, (Ruben) Neves dan Nunes nyata mampu menjadi antara pemain tengah yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.
“Mereka juga memiliki pemain seperti Guedes, (Daniel) Pondence, (Raul) Jimenez yang cukup bahaya di bahagian serangan. Kami agak tertekan pada babak pertama dengan permainan yang berkualiti dan pantas dipamerkan mereka.
“Namun, pada babak kedua kami menjadi lebih baik dan layak untuk menang kerana kami tidak memberikan mereka banyak ruang untuk melakukan jaringan,” katanya. – AGENSI