PUTRAJAYA – Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan malam ini bergema dengan alunan zikir apabila lebih 7,000 jemaah yang hadir mengimarahkan Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra.
Program yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu adalah bersempena genap setahun pada hari ini pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Kehadiran beliau berbaju Melayu berwarna putih di pekarangan masjid ikonik itu pada pukul 7 petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Mereka kemudian mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah manakala sesi bacaan doa dipimpin sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Acara yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula pukul 9 malam itu diketuai oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.
Uniknya Yadim menerusi kenyataan mengesahkan, program berkenaan juga dilaksanakan secara serentak di lima lagi lokasi lain iaitu di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Turut mengalunkan zikir, selawat, tausiah dan qasidah itu ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Lukman Abdullah serta selebriti tempatan antaranya kumpulan Inteam dan Zayne.
Ismail Sabri juga mengambil peluang pada akhir program itu bagi menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada sejumlah penerima daripada kalangan pelbagai latar belakang asnaf.
Mereka terdiri daripada sejumlah 20 buah pusat tahfiz, institusi pengajian pondok, premis kebajikan dan rumah anak yatim tertentu yang turut hadir menyertai acara munajat tersebut.
Bertemakan Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia – Teguh Bersama, program berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Putrajaya.
Terdahulu, sejak pukul 2 petang, acara itu turut dimeriahkan dengan penganjuran program Souq @ Keluarga Malaysia melalui aktiviti gerai Jualan Rakyat di pekarangan Dataran Putra.
Pelbagai barangan keperluan asas dengan harga diskaun 50 peratus ditawarkan kepada pengunjung selain acara pelepasan konvoi bermotosikal Kongsi Rezeki di laman dataran itu.- KOSMO! ONLINE