MELAKA – Proses perluasan sel tanah seluas 24.2 hektar di Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini yang dilakukan bagi membina loji Sisa Ke Tenaga (WTE) kini di peringkat akhir pengambilan tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, proses berkenaan telah disegerakan susulan tapak tersebut dijangka mencapai tahap maksimum penggunaan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kita sedang segerakan penambahan sel tapak pelupusan (24.2 hektar) ini untuk bina WTE kerana penggunaan tapak sedia ada akan mencapai tahap maksimum pada April 2024.
“Kini proses penambahan sel telahpun berada di peringkat akhir pengambilan tanah, sepatutnya kita telah membuat pembayaran kepada pemilik tanah tetapi ada beberapa isu dan Isnin ini saya akan berbincang dengan agensi terlibat untuk menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Kitar Semula Sisa Fabrik 2022 Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, pembinaan WTE yang dijangka siap pada 2026 itu mampu membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan berkenaan sehingga tempoh 50 tahun akan datang.
Tambahnya, dengan pembinaan WTE itu, Melaka akan menjadi negeri pertama dalam negara yang menggunakan teknologi hijau dalam aspek pengurusan sisa pepejal. – KOSMO! ONLINE