MONTGOMERY – Seorang lelaki Alabama yang disyaki terlibat dalam tiga insiden tembakan berbeza di lebuh raya Interstate 85 didapati membawa sejumlah besar senjata api dan lebih 2,000 butir peluru, demikian menurut polis seperti laporan laman berita New York Daily News kelmarin.
Polis berkata, tembakan Jerel Raphael Brown, 39, hanya mengenai seorang mangsa walaupun dia menghujani peluru ke arah tiga kenderaan berbeza dalam masa dua jam di serata negeri Alabama dan Georgia pada Rabu lepas.
Tembakan pertama dilaporkan berlaku sekitar pukul 5.15 pagi (waktu tempatan) di Montgomery. Brown menembak dan merosakkan kenderaan seorang wanita tetapi mangsa melarikan diri dan tidak cedera.
Kira-kira sejam kemudian pada jarak sekitar 80 kilometer ke arah timur di Auburn, Brown menembak seorang lelaki di belakang kepala semasa mangsa sedang memandu. Kata polis, lelaki berusia 45 tahun itu telah dihantar ke Hospital Montgomery dalam keadaan kritikal.
Satu jam selepas itu, dan kira-kira lebih 64 kilometer lebih jauh ke timur di lebuh raya berkenaan di daerah i Troup County, seorang lelaki lain melaporkan bahawa seseorang dalam kereta Cadillac lama telah melepaskan tembakan ke arah kenderaannya. Lelaki itu bagaimanapun tidak cedera.
Polis mula memburu kereta Cadillac Fleetwood 1996 berwarna putih. Seorang anggota polis di daerah Chambers County, Alabama melihat kenderaan itu dan menangkap Brown tanpa sebarang insiden.
Apabila polis menggeledah kereta suspek, mereka menjumpai begitu banyak senjata di dalamnya.
“Oleh kerana jumlah senjata yang membimbangkan ditemui, digabungkan dengan tindakan ganas suspek,jelas terdapat bahawa usaha dan kerjasama pantas semua agensi yang terlibat berjaya menamatkan serangan berbahaya terhadap orang awam dalam pelbagai komuniti di beberapa negeri, ” kata Penolong ketua polis Auburn, Michael Harris Khamis lalu.
Polis menyifatkan insiden tembakan itu sebagai serangan rambang tetapi tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan baru bermula. Brown telah dibawa ke Penjara Lee County berhampiran Auburn dan didakwa dengan cubaan membunuh. – Agensi