TANJUNG MALIM -Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 yang melabuhkan tirai secara rasminya hari ini berkemungkinan akan beralih ke utara tanah air.
Perkembangan itu didedahkan sendiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad selepas berpuas hati dengan penganjuran SUKIPT 2022 yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Tanjung Malim, Perak.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan untuk membawa temasya dua tahun sekali itu ke Zon Utara, Zon Pantai Timur dan seterusnya menganjurkan SUKIPT ke Sabah dan juga Sarawak.
“Kita telah berbincang dengan Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli berkenaan kepentingan untuk membawa SUKIPT ke luar.
“Kita pernah anjur SUKIPT sebelum di Johor dan kawasan tengah (Selangor). Jadi pada edisi akan datang kemungkinan SUKIPT akan diadakan di Zon Utara, Zon Pantai Timur dan juga Zon Timur. Jangan risau selepas ini SUKIPT akan terbang ke Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media hari ini.
Seramai 6,500 atlet berkampung ke UPSI dan lebih menarik sebanyak 46 rekod kejohanan telah dipecahkan dalam SUKIPT edisi kali kelima tersebut.
13 rekod kejohanan berjaya dipecahkan di gelanggang olahraga, 18 rekod di kolam renang dan 15 rekod di lapangan memanah dengan melibatkan lapan rekod bagi acara compound dan tujuh rekod bagi acara recurve.
Justeru, Ahmad Masrizal berpendapat kecemerlangan tersebut membuktikan bahawa SUKIPT sentiasa relevan terutama untuk melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berpotensi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Usaha-usaha ini perlu diteruskan dengan perancangan yang teliti agar setiap atlet yang lahir daripada SUKIPT terus mendapat pendedahan dan peluang sewajarnya untuk terus berjaya ke peringkat tertinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE