PETALING JAYA – Penyanyi Zizi Kirana mengakui tidak pernah merindui penampilan lama, namun sentiasa beringat supaya terus kekal istiqamah dalam mendepani kehidupan dan kerjaya.
Katanya, perkara paling sukar selepas berhijab sejak setahun lalu adalah untuk mencari kekuatan supaya dapat berpegang kepada niat awal selepas nekad mahu berubah ke arah yang lebih baik.
“Sebenarnya nak istiqamah itu yang paling susah untuk dilakukan. Sebab itu ketika awal-awal pasang niat untuk bertudung, saya buat secara perlahan-lahan. Bukan drastik. Saya mulakan ketika bulan Ramadan.
“Kiranya saya praktikkan supaya perubahan tersebut tidak terlalu mengejut untuk diri sendiri. Macam sekarang apa-apa persalinan yang saya pakai, saya akan tengok dulu sama ada sesuai atau tidak.
“Dari segi kerjaya pun sama. Apabila buat persembahan kena tengok penampilan. Banyak benda yang perlu diambil kira. Ada batas perlu dijaga. Berbeza berbanding dahulu.
“Saya tidak pernah terdetik pun rasa rindu (penampilan lama). Saya nekad, memang terus berdoa untuk kekal penampilan sekarang. Cuma bagi saya jangan sebab kita nak berhijrah kerana orang lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi kelahiran Sabah itu ditemui selepas sidang media Konsert Faztival Fazura 2022 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu antara penghibur yang turut beraksi di konsert yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 September depan.
Selain Zizi, konsert terbabit dibarisi penyanyi popular tempatan dan Indonesia seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Yusof Bahrin itu berharap masyarakat tidak berterusan mengecam individu yang kembali tidak bertudung, sebaliknya mendoakan saja.
Katanya, dia turut simpati dengan situasi sulit yang mungkin sedang dilalui mereka sehingga membuat keputusan sebegitu berat.
“Saya rasa kasihan kerana kita tidak tahu apa yang mereka hadapi. Apakah dugaan sampai ada yang terpaksa berbuat sedemikian.
“Saya percaya itu satu keputusan yang berat. Tapi saya nak komen lebih-lebih pun tak boleh. Kalau terjadi kepada diri sendiri bagaimana?
“Saya pun tak pasti perjalanan hidup saya nanti. Kita tak berada dalam kasut mereka. Jadi lebih elok kalau kita doakan yang baik-baik saja,” katanya.
Penyanyi berusia 37 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan Yusof pada 19 September tahun lalu iaitu hanya selepas dua bulan mengenali hati budi. – KOSMO! ONLINE