BANGKOK – Bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang kini ‘menumpang’ di Thailand dikatakan sedang bersiap sedia untuk pulang ke tanah airnya di Colombo, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Berita mengenainya disiarkan selepas beliau tiba di Thailand dari Singapura kira-kira seminggu lalu.
Rajapaksa pada mulanya melarikan diri ke Maldives selepas ‘dihambat’ keluar oleh 100,000 penunjuk perasaan yang mendesak beliau meletak jawatan.
Tidak lama selepas itu, Presiden yang digulingkan itu terbang ke Singapura di mana beliau diberikan kediaman sementara tanpa sebarang perbincangan tentang pengampunan atau penempatan jangka panjang.
Rajapaksa tiba di Thailand pada 11 Ogos lalu selepas visa Singapura tamat dan Bangkok mengesahkan akan menerima kehadirannya tanpa sebarang permohonan visa.
Polis menasihati Rajapaksa untuk kekal berada di hotelnya yang terletak di tengah Bangkok kerana faktor keselamatan memandangkan ramai penduduk tempatan menentang ketibaan beliau dari Thailand.
Pemimpin itu merancang untuk pulang ke negara asalnya pada Rabu depan bersamaan 24 Ogos 2022, demikian menurut laporan Sri Lanka News First minggu ini.
Sesetengah media Asia Selatan mendakwa bahawa Rajapaksa juga telah memohon kad hijau untuk bermastautin di Amerika Syarikat (AS).
Situasi politik dan ekonomi Sri Lanka menjadi huru-hara pada April lalu selepas negara itu kehilangan bekalan elektrik selama 13 jam, gangguan bekalan paling lama pernah direkodkan.
Sejak itu, negara tersebut gagal membayar bagi import barangan keperluan seperti bahan api ubat dan barangan keperluan lain. – Agensi