LUMUT – Taman Negeri Pulau Sembilan akan diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) sebagai usaha untuk melindungi habitat dan ekosistem hidupan marin.
Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah bertitah, ia sekali gus menjadikan gugusan pulau tersebut sebagai MPA pertama di Perak yang dapat membantu memulihkan produktiviti lautan dan ekosistem hidupan marin.
“Taman Negeri Pulau Sembilan kaya dengan habitat terumbu karang, hidupan marin dan keunikan phytoplankton biru yang dikenali sebagai ‘bluetears’,” titah baginda pada Hari Konservasi Raja Dihilir Perak di Taman Negeri Pulau Sembilan di Pulau Lalang, Gugusan Pulau Sembilan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein, menjelaskan kerajaan negeri telah bersetuju menjadikan Pulau Sembilan sebagai MPA dengan pewartaan dijangka dikuatkuasakan akhir tahun ini.
Beliau memaklumkan apabila diwartakan nanti, pihaknya mencadangkan kawasan perairan sekitar tiga batu nautika sekeliling gugusan pulau tersebut menjadi MPA negeri dan larangan kepada aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan.
Jelasnya lagi, pewartaan itu yang akan dilakukan bersama Jabatan Perikanan negeri kemungkinan akan melaksanakan zon kawasan penangkapan ikan serta kuota nelayan yang boleh berada di perairan tersebut pada satu-satu masa.
“Walaupun kerajaan negeri sudah bersetuju, pewartaan itu tidak dibuat serta-merta kerana kita perlu bersemuka dan memberi penjelasan dengan komuniti nelayan berhubung keputusan tersebut,” ujarnya.
Beliau menegaskan keputusan itu sebenarnya untuk kebaikan golongan nelayan juga kerana ia dapat memastikan sumber marin terutama terumbu karang yang dalam keadaan terancam sekarang, sentiasa dipulihara dan dipelihara untuk sumber ikan masa akan datang. – KOSMO! ONLINE