PENDANG – Kesempitan hidup yang dihadapi lima beranak telah memaksa mereka kembali semula ke bangsal usang tanpa dinding, lantai dan kemudahan asas.
Hazimi Ayob, 56, dari Kampung Kubur Panjang di sini berkata, mereka berpindah sejak dua minggu lalu bersama anak dan tiga cucunya berusia empat hingga 14 tahun setelah dia hilang mata pencarian dan tidak mampu membayar sewa rumah.
Katanya, dia mempunyai enam anak, namun memilih untuk kembali ke bangsal kerana tidak mahu membebankan mereka.
“Kedai makanan haiwan yang saya usahakan di pekan Kubur Panjang ditutup kerana rugi dan saya tak mampu tanggung kos barang yang meningkat.
“Sebab itu saya kembali semula ke bangsal ini kerana tanah di sini milik keluarga saya. Saya jaga cucu sejak ibu mereka berpindah ke Alor Setar beberapa tahun lepas,” katanya.
Terdahulu, Hazimi dikunjungi Penyelaras Pejuang Pendang, Najmuddin Darus bagi menghulurkan sumbangan.
Menurut duda itu, cucunya dibela sejak kecil dan selesa belajar di Sekolah kebangsaan dan Menengah Kubur Panjang tidak jauh dari bangsal itu.
Tambahnya, walaupun bangsal itu usang, mereka sekeluarga sudah biasa dengan keadaan tersebut.
“Saya akan mandi atau masak di rumah anak saudara yang terletak bersebelahan. Cuma tidur sahaja di sini,” katanya.
Ujar Hazimi, dia juga sedang membina sebuah bilik untuk cucu perempuannya.
“Saya membuat kerja-kerja kampung serta menjerat burung untuk dijual. Ada juga ambil upah RM700 sebulan jadi juri pertandingan bunyi burung,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Hazimi di nombor 221331026977.