PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengharapkan sokongan daripada para peminat badminton tanah air menjelang Kejohanan Dunia 2022 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun bermula esok.
Tze Yong masih segar dengan kejayaan meraih pingat perak pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas tewas 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain No.10 dunia dari India, Lakshya Sen di pentas final awal bulan ini.
Pencapaian tersebut pastinya meningkatkan keyakinan pemain berusia 22 tahun dari Johor itu untuk mengorak langkah sejauh mungkin walaupun berdepan jaguh-jaguh handalan dunia di Tokyo minggu depan.
“Lupakan masa lalu dan berikan yang terbaik. Jangan lupa sokong pasukan Malaysia,” kata Tze Yong dalam hantarannya di Facebook.
Tze Yong yang ketika ini menghuni ranking ke-42 dunia, akan membuka tirai Kejohanan Dunia menentang juara Malaysia Masters 2022 dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo di pusingan pertama.
Jika menang, dia akan berdepan pilihan ke-13 kejohanan dari Jepun, Kanta Tsuneyama atau pemain Thailand, Sitthikom Thammasin di pusingan kedua.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah mempunyai pemenang untuk acara perseorangan lelaki sejak Kejohanan Dunia diperkenalkan pada 1977.
Pencapaian terbaik adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei dengan tiga gelaran naib juara sewaktu edisi 2011, 2013 dan 2017 selain beliau juga turut meraih tempat ketiga kejohanan berkenaan pada 2005.