fbpx

Najib Asaddok sedia terima kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAJIB ASADDOK pada sidang akhbar yang diadakan di Seksyen 13 Shah Alam, kelmarin.

SHAH ALAM – Memiliki pengalaman yang luas meliputi bidang perniagaan dalam talian dan jurulatih pemasaran terkemuka, Najib Asaddok tidak goyah untuk meneruskan perkhidmatan memberikan bimbingan kepada para peniaga dan usahawan.

Meskipun dilemparkan pelbagai provokasi dan spekulasi berikutan sebuah klip video yang tular baru-baru ini, Najib atau nama sebenarnya Mohd. Najib Asaddok, 39, mengakui bahawa dirinya hanya seorang manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.

“Saya akui kelemahan saya dan sikap profesional yang dipamerkan boleh diperbaiki pada masa akan datang. Saya sentiasa terbuka, namun kritikan itu mestilah membina dan bukan mengutuk.

“Ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan perkataan sebegitu sebelum ini. Insya-Allah saya akan lebih kawal mana soalan yang saya patut jawab dan mana tidak,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, Najib membuat satu sesi perkongsian secara langsung di akaun TikTok miliknya untuk berkongsi ilmu.

Bagaimanapun, pada 10 Ogos lalu, seorang pengguna yang dikenali sebagai @farqhan telah memuat naik sebuah klip video yang didakwa telah memberi komen dan kenyataan tidak benar, sekali gus memberi impak yang negatif terhadap beliau.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Najib ke atas pengguna TikTok berkenaan pada 17 Ogos lepas dan kini kes itu berada dalam siasatan polis untuk tindakan lanjut.

“Laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Kluang, Johor disebabkan ibu pejabat kami terletak di sana. Ia bukanlah satu amaran tetapi bertujuan untuk melindungi diri dan juga syarikat saya,” ujarnya.

Mengulas spekulasi mengenai perniagaannya sebelum ini, Najib memberitahu dia telah mula berniaga produk automotif sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia sekitar tahun 2004.

“Kemudian pada 2005, saya mula menjual produk penapis air di bawah syarikat Rx-Water dan sehingga 2009, saya fikir macam mana untuk ubah daripada perniagaan fizikal kepada perniagaan online.

“Selama tiga tahun mencuba, akhirnya saya menemui peluang untuk melakukan jualan sehingga ke Amerika Syarikat, Kanada dan Australia melalui platform Ebay dengan nilai jualan mencecah RM50,000,” ujarnya.

Najib turut memiliki Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) dari Anglia Ruskin University, Kampus Kolej FTMS Cyberjaya pada 2018 dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).

Pengasas Syarikat Momentum Internet Sdn. Bhd. itu telah menyediakan perkhidmatan bimbingan usahawan sejak 2014 dan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, lebih 135,000 peserta telah menyertai program Momentum Internet baik secara fizikal mahupun online.

“Saya fokus membantu peniaga-peniaga online untuk kuasai pelanggan di media sosial dan gandakan jualan dengan strategi serta teknik pendigitalan terkini dalam jualan yang akan mengubah kehidupan mereka 360 darjah.

“Bersama Team Momentum, kami telah membantu 73,140 peniaga online dari 2018 hingga 2021, selain turut membimbing 638 peniaga secara dekat menerusi program Platinum dan Ultimate Membership yang berlangsung selama 12 bulan,” katanya.

Mengulas berkenaan stigma bisnes ‘jual air liur’ yang sering dikaitkan dengannya, Najib menyifatkan apa yang dilakukan sama seperti kebanyakan profesional di luar sana.

“Bercakap mengenai jual air liur ini bukan sahaja saya, tetapi termasuk guru-guru kita, pensyarah dan para ustaz atau ustazah.

“Apa yang saya usahakan untuk menghilangkan stigma ini adalah dengan mencipta lebih banyak kejayaan di depan mata orang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI