LEEDS – Chelsea terpaksa pulang hampa selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Elland Road sebentar tadi.
Turun tanpa kelibat pemain tengah berpengaruh, N’Golo Kante, corak permainan The Blues di bahagian tengah dilihat agak goyah apabila pengurus, Thomas Tuchel menggandingkan Jorginho bersama pemain muda, Conor Gallagher.
Chelsea yang turun sebagai pasukan pelawat hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi pemain sayap, Raheem Sterling, namun gol yang dilakukan tidak sah kerana dia berada dalam kedudukan offside.
Ketika Chelsea dilihat ghairah memburu gol pendahuluan, kesilapan bodoh dilakukan penjaga gol, Edouard Mendy menghukum The Blues selepas Brenden Aaronson mudah merampas dan menolak masuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-33.
Empat minit berselang, pintu gol The Blues bocor buat kali kedua hasil tandukan Rodrigo berpunca daripada sepakan percuma Jack Harrison, sekali gus meletakkan Leeds selesa mendahului 2-0 menuju ke rehat separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Chelsea cuba memperkemaskan corak permainan dengan melancarkan serangan ke arah pintu gol Leeds dengan harapan untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila Leeds menambah derita juara Eropah dua kali itu apabila meledak gol ketiga perlawanan pada minit ke-69 menerusi Harrison selepas memanfaatkan tandukan dilakukan Rodrigo.
Ketika perlawanan berbaki lima minit, situasi Chelsea bertambah buruk apabila pemain pertahanan, Kalidou koulibaly diarah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua kerana menarik Joe Gerlhardt.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, namun Chelsea tetap mencuba nasib untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol, namun kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.-KOSMO! ONLINE