PETALING JAYA – Kemudahan lif di pusat beli-belah adalah penting bukan sahaja kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas malah untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Bagaimanapun, situasi tidak puas hati antara pengguna disebabkan lif menjadi sempit atau kurang selesa akibat penggunaan ‘stroller’ (kereta sorong) masih menjadi pertikaian.
Bukan itu sahaja, perkara itu turut membebankan mereka yang membawa ‘stroller’ apabila terpaksa menggunakan eskalator disebabkan lif sentiasa penuh.
Menurut Pakar Perunding Perubatan, Dr. Rafidah Abdullah, pengusaha pusat beli-belah perlu mempertimbangkan larangan penggunaan lif bagi golongan tertentu untuk mengelakkan perkara sedemikian.
“Saya sarankan ‘ban’ (larang) penggunaan lif untuk mereka yang muda dan boleh berjalan.
“Hanya beri kemudahan kepada orang tua yang sakit, berkerusi roda serta ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau stroller (kereta sorong),” ciapnya di laman Twitter hari ini.
Rafidah berkata, golongan lebih muda dinasihatkan untuk menggunakan tangga atau eskalator.
Semalam, isu melibatkan lif itu menjadi tumpuan selepas seorang wanita yang membawa anak kecil meluahkan kekecewaan gara-gara penat menunggu giliran untuk menaiki lif di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Menerusi perkongsiannya di laman sosial ameenazizul, dia memberitahu bahawa tiada seorang pun yang memberikan laluan kepadanya sehingga akhirnya dia terpaksa mengalah dan menggunakan eskalator.
“Padahal semua muda-muda, bawa ‘shopping bag’ je, bukan ‘stroller’ atau warga emas. Lama sangat tunggu akhirnya kami mengalah, lipat ‘stroller’, dukung anak, turun eskalator,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE