ISKANDAR PUTERI – Sambutan hari kebangsaan ke-65 di Johor pada tahun ini akan disambut secara besar-besaran dan penuh kemeriahan selepas dua tahun ia tidak dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, pelbagai program telah dilakukan Jabatan Penerangan Negeri Johor sejak minggu lalu dan Dataran Iskandar Puteri akan menjadi venue acara perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan.
“Program kibaran jalur gemilang secara bergerak akan melalui tujuh daerah lain sehinggalah hari kemuncak sambutan hari kemerdekaan.
“Selama dua tahun kita tidak dapat meraikan hari penuh bersejarah buat negara. Jadi pada tahun ini kita akan buat “all-out” setelah boleh berhimpun dan secara bersemuka.
“Sambutan hari kebangsaan yang ke-65 ini dapat meniupkan semangat patriotik selain menguatkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang bertuah. Tahun ini kita pilih Dataran Iskandar Puteri sebagai lokasi sambutan malam ambang Merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis EduCity’s International Digital Classroom Conference 2022 @ Indoor Arena, EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Norlizah berkata, Jabatan Penerangan Negeri turut menggalakkan penganjuran pertandingan menghias jalur gemilang di peringkat Komuniti dan sekolah bagi menghangatkan sambutan hari kemerdekaan tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan kurang meriah di bandar raya kerana tidak banyak premis menggantung bendera, katanya, situasi itu akan berubah dalam minggu ini.
“Insya-Allah dalam tempoh seminggu ini keadaan akan berubah dan lebih banyak premis menaikkan bendera jalur gemilang. Inilah masanya untuk kita tunjukkan rasa cinta pada Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE