JAKARTA – Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 (Satgas) Indonesia, Profesor Wiku Adisasmito memaklumkan bahawa pemerintah belum memutuskan mengenai mengenakan bayaran ke atas pengambilan vaksin dalam masa terdekat, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Perkara tersebut menjadi persoalan selepas pemerintah mengesahkan tidak lagi memperuntukkan bajet khas untuk Covid-19 dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEN) dalam Belanjawan Negara 2023.
Khabar angin tersebar bahawa bayaran akan dikenakan kepada individu yang masih belum lengkap vaksinasi dan tidak tergolong dalam kumpulan penerima bantuan menjelang tahun hadapan disebabkan pemansuhan peruntukan.
“Pemerintah ketika ini masih fokus untuk mendorong masyarakat menyelesaikan pengambilan dos wajib vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak pertama untuk masyarakat dan kedua bagi petugas kesihatan,” kata Wiku.
Beliau turut meminta pemerintah daerah dan wilayah agar segera memenuhi sasaran 30 peratus rakyat yang telah mengambil vaksin penggalak terutama di kawasan yang masih mengalami peningkatan kes seperti Banten, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
“Peranan pemimpin wilayah seperti gabenor, datuk bandar, bupati, ketua mukim adalah untuk mengajak orang ramai supaya menyelesaikan pengambilan dos vaksin Covid-19,” tegasnya. – Agensi