PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui cabaran paling getir ketika diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ialah menstabilkan semula politik Malaysia kerana ketidakstabilan akan memberikan impak negatif kepada ekonomi, seterusnya menyukarkan kehidupan Keluarga Malaysia.
“Cabaran paling getir ialah dari segi kestabilan politik kerana ini ada kaitan dengan kestabilan ekonomi. Politik yang tidak stabil membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan kesan (negatif) sudah tentu kepada rakyat.
“Ketika saya mengambil alih kerajaan, ketika itu keadaan tidak stabil dari segi politik sebab sebelum saya sudah ada dua Perdana Menteri.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dalam satu penggal ada tiga Perdana Menteri,” katanya dalam satu temu bual khas sempena setahun pentadbiran beliau di sini, baru-baru ini.
Jelas Ismail Sabri, hasil daripada kestabilan politik tersebut, proses pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah berjalan dengan baik.
“Cabaran seterusnya dari segi pemulihan ekonomi memandangkan kerajaan telah menutup semua sektor ekonomi selama dua tahun dan apabila mahu membukanya semula, ia bukanlah perkara yang mudah.
“Tetapi alhamdulillah, kalau kita lihat pengumuman Bank Negara dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar, Malaysia antara terbaik di Asia Tenggara berbanding kuasa besar lain seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah,” katanya.
Tambah beliau, kadar pengangguran juga berjaya diturunkan kepada 3.8 peratus, manakala pelaburan langsung asing telah melepasi RM2 trilion, iaitu angka tertinggi setakat ini.
Malah kata Perdana Menteri, hasil pemulihan ekonomi tersebut telah membuka lebih 400,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15, Ismail Sabri berkata, rakyat sewajarnya diberi peluang untuk memberikan semula mandat kepada kerajaan memerintah.
“Rakyat perlu diberi ruang untuk memilih kerajaan yang baharu. Sebab dah berubah tiga kerajaan, ada yang mengiktiraf ada yang tak mengiktiraf, elok pulangkan mandat ini kepada rakyat semula,” kata beliau.
Pada masa sama, Ismail turut melahirkan rasa gembira apabila berjaya membawa nafas baharu kepada Keluarga Malaysia dalam tempoh setahun pentadbiran bermula 21 Ogos 2021, ketika negara masih berperang dengan Covid-19.