JOHOR BAHRU – Penduduk di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini berharap pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan berkenaan khususnya apabila tiba musim hujan lebat.
Zulkifli Mat Ahwan, 43, memberitahu, antara perkara yang diharapkan penduduk adalah sekiranya kerajaan dapat melakukan kerja-kerja pedalaman dan pelebaran Sungai Skudai.
Menurut bapa kepada dua orang anak itu, kali terakhir kerja-kerja pedalaman sungai itu dibuat adalah kira-kira 20 tahun lalu
“Sejak lahir, saya memang sudah menetap di kampung ini, dan seingat saya memang kawasan ini akan ditenggelami air sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Setiap kali banjir kilat melanda, penduduk akan mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit, saya sendiri rugi lebih RM1,000 setiap kali banjir berlaku.
“Jadi, penduduk kampung ini berharap agar kerajaan dapat melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan juga pedalaman Sungai Skudai di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian banjir terus berulang, kerana kali terjadi sungai itu didalamkan adalah pada tahun 1990-an,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sedang membersihkan kediaman akibat banjir kilat, petang semalam.
Tambah Zulkifli, dia sudah berasa penat apabila setiap kali banjir kilat berlaku pelbagai barangan di rumahnya akan rosak dan mengalami kerugian akibat air banjir dan tanah berselut.
Terdahulu, seramai 89 penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kediaman mereka dinaiki air sejak semalam. – KOSMO! ONLINE