PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak belajar ilmu agama daripada sumber Internet yang kemungkinan boleh diragui kesahihannya terutama berkaitan isu akidah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan ajaran sesat yang giat mencari pengikut baharu.
“Boleh misalnya daripada enjin carian Google, tetapi itu sekadar nilai tambah namun biarlah daripada guru yang kita tahu mursyid iaitu beramal dengan ilmunya,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau melancarkan pelepasan konvoi bermotosikal Kongsi Rezeki bersempena Program Munajat Keluarga Malaysia di laman Dataran Putra dekat Masjid Putra di sini hari ini.
Pada program tersebut, beliau turut menyantuni sebahagian daripada 600 individu asnaf yang menerima pelbagai barang keperluan harian termasuk ayam, beras, minyak masak dan telur.
Awal bulan ini, negara gempar dengan tindakan 300 pengikut Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah dari Negeri Sembilan berada di Arafah menunggu kemunculan Imam Mahdi.
Mereka yang terpengaruh ajaran Habib Shah Firdaus Ahmad mendakwa konon pemimpin akhir zaman itu akan hadir pada hari wukuf namun hampa apabila tiada apa-apa berlaku.
Mengulas lanjut, Idris dalam nada nasihat berkata, secara umum individu tidak belajar tinggi pengajian agama di pondok pun tahu membezakan mana ajaran Islam yang betul dan salah.
“Budak kecil sekolah rendah jika tengok bapanya tidak pergi solat Jumaat pada tengah hari Jumaat pun tahu itu tidak betul, apatah lagi kita yang dewasa ada asas kuat agama,” katanya.
Mengenai baki kurang 100 orang pengikut tarekat itu yang masih terkandas berada di Mekah, beliau meminta mereka segera berhubung dengan pihak Konsul Besar Malaysia di Jeddah.
Kemungkinan besar ujar beliau, mereka tidak dapat pulang kerana isu dokumentasi selepas kerajaan Arab Saudi melakukan pemutihan di sekitar Tanah Suci selepas habis musim haji lalu.
Justeru, mereka dinasihatkan memohon bantuan konsulat bagi membolehkan pulang ke tanah air dengan selamat dan tidak ditangkap pihak berkuasa sebagai pendatang asing tanpa izin.
Menyentuh, apakah tindakan yang boleh dikenakan kepada pengikut tarekat berkenaan, Idris berkata, langkah seterusnya terpulang kepada Jabatan Agama Islam di negeri yang terlibat.
“Pihak berkuasa agama di negeri tersebut yang akan menentukan bentuk penguatkuasaan kerana urusan hal ehwal agama terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE