RUPA paras menawan dan gaya mempesona dimiliki gadis Pesona Ahad minggu ini, menjadikan dirinya mempunyai pakej lengkap untuk bergelar bintang baharu dalam industri seni tanah air.
Menurut Nor Amalia Mohd. Ramli, 27, impian beraksi di layar perak sudah lama diidamkannya dan hanya menunggu masa sesuai bagi melebarkan bakat sekiranya ada peluang.
Kepada Kosmo! Ahad, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang juga graduan undang-undang ini berkongsi mengenai impiannya bergelar seorang anak seni serta cabarannya dalam mencapai cita-cita itu.
KOSMO! AHAD: Boleh kongsikan tentang impian menceburi bidang lakonan?
Amalia: Impian bergelar pelakon sebenarnya sudah lama memandangkan saya ada membuat filem pendek bersama kawan-kawan. Cuma sekarang ini, perasaan menjadi anak seni makin membuak-buak.
Kalau diberi peluang, watak apa yang diidamkan?
Saya gemar watak berbeza daripada perwatakan sebenar seperti antagonis kerana ia mencabar kebolehan sebagai seorang pelakon.
Siapa idola Amalia dalam bidang seni lakonan?
Fasha Sandha, Nabila Huda dan Beto Khusyairi kerana persembahan yang sentiasa memberi kesan mendalam kepada penonton.
Antara minat dan populariti, mana lebih penting?
Bagi saya, ia perlu seiring memandangkan bakat diperlukan untuk kekal lama dan populariti perlu diraih khususnya untuk naikkan pelakon baharu dalam industri.
Kenapa lebih meminati bidang seni berbanding menjadi pegawai undang-undang?
Sebelum ini pernah bekerja di firma guaman, tetapi minat saya lebih kepada bidang peragaan, perniagaan dan lakonan.
Boleh kongsikan rahsia penjagaan wajah dan diri?
Minum air kosong secukupnya setiap hari selain aktifkan diri dengan aktiviti sukan dan sentiasa amalkan rutin penjagaan wajah.
Sebagai wanita, apa diperlukan untuk kelihatan cantik?
Keyakinan ialah kuncinya kerana apabila kita yakin dengan diri sendiri, apa yang dilakukan akan terlihat menawan.
Adakah Amilia terbuka hati untuk menerima kehadiran teman lelaki ketika ini?
Buat masa ini belum, mungkin pengalaman lalu apabila perhubungan cinta yang dibina tidak berjaya buatkan saya sedikit trauma.
Apa ciri-ciri lelaki pilihan?
Cukuplah sekadar seorang yang bertanggungjawab serta matang dalam menguruskan sesebuah hubungan.