SABAK BERNAM – Pas tidak akan berputus asa dalam berusaha mewujudkan kerjasama dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ini ekoran musuh yang dihadapi mereka adalah sama dengan Pas berpolitik untuk Islam selaras dalam perpaduan tersebut.
Katanya, sepatutnya tidak perlu mencari kesalahan masing-masing dengan rundingan harus dilakukan dalam mencapai tujuan itu.
“Kalau UMNO duk keluar kenyataan, nak solo, nak solo. Kita tidak berputus asa menyeru mereka kaji balik dan meh duk bincang.
“Sebab kita hadapi musuh sama dan apa untungnya bertindak dengan tindakan itu, musuh kita boleh berkuasa.
“Dia (UMNO) rugi, kita pun rugi. Kena duduk sekali supaya kita untung, musuh rugi,” katanya selepas melancarkan Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan kibar Jalur Gemilang Pas Selangor di sini hari ini.
Beliau menegaskan Pas mengadakan perpaduan ummah ini bukan untuk tujuan pegang jawatan dalam kerajaan dan tiada istilah rebut kedudukan tersebut.
Tambah Hashim, ini terbukti apabila kita tidak mendengar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekalipun meminta menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri sekalipun.
“Ini disebabkan kita berpolitik untuk Islam dan bukan guna Islam untuk tujuan peribadi dan hasilnya ( Pas) bersih rasuah.
“Marilah berfikir, rujuk kepada isi piagam yang kita (Muafakat Nasional) tandatangan bersama. Saya pelik apabila UMNO marahkan atau berkelahi dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dia suruh kita pun marah sama. Itu tidak kena,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, hasrat Pas hanya ingin menghimpunkan Melayu dan mereka yang berkongsi impian sama menerusi perpaduan ummah.
“Ini kalau dia (UMNO) tidak suka, wajib orang lain pun tak suka. Saya rasa tak betul sebab tak nilai dari kaca mata Islam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE