LVIV, Ukraine – Pemimpin Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran tentang bencana nuklear menanti di Ukraine semasa perbincangan empat mata bersama President Volodymyr Zelenskyy kelmarin.
Peningkatan pertempuran di sekitar loji nuklear terbesar Eropah di Zaporizhzhia, selatan Ukraine mencetuskan amaran daripada pemimpin-pemimpin dunia, manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, sebarang kerosakan terhadap loji janakuasa nuklear itu tindakan ‘bunuh diri’.
“Kami bimbang. Kami tidak mahu satu lagi bencana nuklear seperti di Chernobyl.
“Kami akan meneruskan usaha untuk mencari penyelesaian dan pada masa yang sama kami kekal sebagai sahabat Ukraine,” kata Erdogan semasa sidang akhbar bersama Guterres di bandar Lviv, timur Ukraine.
Guterres pula berkata, beliau amat bimbang mengenai situasi di loji nuklear tersebut dan berkata, kawasan itu perlu dijadikan zon bebas tentera.
“Kami perlu berkata benar. Sebarang kerosakan terhadap loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia adalah umpama membunuh diri,” katanya.
Guterres turut menyuarakan sokongan untuk misi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melawat Zaporizhzhia di wilayah kawalan Rusia di Ukraine, namun menyatakan bahawa perkara itu hanya boleh berlaku sekiranya Moscow dan Kiev boleh mencapai persetujuan.
Bercakap kepada pemberita di Lviv kelmarin, Guterres memberitahu, PBB berhubung rapat dengan IAEA dan memutuskan bahawa kedua-dua agensi berkenaan mempunyai keupayaan logistik dan keselamatan di Ukraine untuk menyokong misi ke loji nuklear Zaporizhzhia.
Beliau berkata, lawatan itu akan berlaku ‘dari Kiev’ dan dengan syarat kedua-dua Rusia dan Ukraine bersetuju mengenainya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Rusia menuduh Ukraine sengaja membedil kemudahan itu berulang kali manakala Kiev menuduh Rusia menyerang loji tersebut. Fasiliti nuklear itu kekal di bawah kawalan Rusia, namun ia dikendalikan oleh kakitangan Ukraine.
Guterres yang sebelum ini menyeru supaya kawasan itu dijadikan zon bebas tentera, menegaskan bahawa persetujuan perlu dicapai segera bagi menjadikan Zaporizhzhia sebagai ‘infrastruktur awam semata-mata’ untuk memastikan keselamatan loji nuklear berkenaan.
“Logik akal mesti diutamakan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang mungkin membahayakan integriti fizikal, keselamatan atau keselamatan loji nuklear Zaporizhzhia,” kata ketua PBB itu, sambil menambah, loji janakuasa tersebut “tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sebarang operasi ketenteraan.”
Moscow yang telah berulang kali meminta misi IAEA ke loji nuklear tersebut telah menyatakan bahawa gesaan PBB untuk menjadikan loji Zaporizhzhia dan kawasan sekitarnya sebagai zon bebas tentera adalah tidak boleh diterima kerana provokasi dari Kiev.
“Menjadikan Zaporizhzhia sebagai zon bebas tentera akan menyebabkan kawasan itu lebih terbuka kepada ancaman kumpulan-kumpulan nasionalis Ukraine, kata Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Rusia Ivan Nechayev kelmarin.
Kementerian Pertahanan Rusia telah memberi amaran bahawa Ukraine merancang provokasi di tapak itu semalam bertepatan dengan lawatan Guterres, bagi menuduh Rusia merisikokan bencana nuklear.
Awal minggu ini, Presiden Perancis Emmanuel Macron juga menyatakan sokongan untuk misi IAEA untuk mengunjungi Ukraine dan menyatakan bahawa perkara itu harus berlaku “secepat mungkin.” – AFP/Agensi