BEIJING – Seorang lelaki di China menerima kecaman netizen apabila tidak menyedari anaknya yang berusia sembilan bulan memakan najis sendiri kerana terlalu leka dengan telefon pintar, lapor akhbar South China Morning Post semalam.
Kejadian di wilayah Jilin itu terbongkar selepas isterinya melihat rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.
Rakaman jelas menunjukkan lelaki itu sedang berbaring di sebelah anaknya yang menjilat najis sendiri, namun tidak disedari kerana terlalu asyik melayan aplikasi telefon pintar.
“Suami saya pada mulanya tidak memberitahu bahawa anak kami memakan najis sendiri dan cuma menyatakan bahawa dia buang air besar hingga terkena pada karpet.
“Saya tidak berpuas hati dengan penjelasannya kerana dia begitu bersungguh-sungguh membasuh karpet tanpa disuruh atau merungut. Saya menonton rakaman CCTV untuk mengetahui perkara sebenar,” kata isterinya.
Sehingga kini, video yang dimuat naik di platform Weibo itu telah diulang tonton sebanyak 220 juta kali. – Agensi